|
Bagaimana Memilih Perabot
Jati
Seperti
kayu-kayu lain yang lazimnya digunakan sebagai perabot, kayu
jati juga mempunyai gred dan kualiti tertentu. Terdapat pelbagai
istilah digunakan dalam mengkategorikan kelas kayu.
Di Malaysia lazimnya menggunakan istilah gred A,B atau gred
C. Kalau di tempat asal industri kayu jati terbesar di dunia
iaitu Di Jepara, Jawa Tengah, gred kayu di kelaskan kepada
a) Kayu Kampung b) Kayu Tipika/Perhutani.
Kayu Kampung merupakan kayu dari pohon-pohon yang ditanam
atau tumbuh liar yang tidak dikawal selia oleh penguasa perhutanan.
Pohon yang dikelaskan sebagai kayu kampung tidak menjalani
prosedur tertentu sebelum layak ditebang dan digunakan sebagai
perabot.
Kayu tipika/perhutani merupakan kayu dari pohon-pohon yang
ditanam atau tumbuh liar yang dikawal dan dirawat oleh penguasa
perhutanan. Pohon dari kelas ini harus menjalani proses dan
memenuhi syarat tertentu sebelum ditebang. Kayu dari kelas
tipika berkualiti tinggi kerana ia perlu melepasi syarat umur
tertentu sebelum mendapat kebenaran penebangan. Kayu tipika
dikeringkan sebelum ditebang iaitu ia akan disuntik bahan
kimia supaya mati dan dibiar kering selama sekurang-kurangnya
satu tahun sebelum ditebang dan digunakan sebagai perabot.
Kedua-dua kategori kayu kampung dan kayu tipika akan dibahagikan
mengikut kelas nombor 1-3. Sebagai panduan untuk mudah difahami,
kami mengkelaskan kayu kampung sebagai Gred B (B1,B2,B3) dan
kayu tipika sebagai Gred A (A1,A2,A3). Terdapat juga kayu
yang dikelaskan sebagai Gred C, namun kayu dalam gred ini
tidak berkualiti dan jarang di jual di galeri perabot kami.
Untuk mengenali kayu bergred A,B atau C, cara termudah ialah
dengan meneliti semasa kayunya masih belum di warnakan/varnish.
Selain itu anda perlu berkemahiran dalam meneliti urat kayu
yang terbaik. Kebanyakan pengedar perabot jati di Malaysia
menjual perabot dari Gred B memandangkan kayu dari Gred A
sangat mahal. Namun ada juga yang mencampurkan perabot Gred
B dan Gred C yang berkualiti rendah. Di Jawhari Furniture,
kami hanya menjual perabot dari kualiti Gred B1-B3 dan sedikit
dari Gred A3. Terdapat juga pelanggan yang membuat pilihan
untuk perabot dari Gred A2 dan A1.
Sebagai
panduan yang mudah, kami menyenaraikan beberapa tip-tip untuk
memilih perabot dari kayu jati supaya pelanggan kami berpuas
hati dengan kualiti setiap barangan yang dibeli.
- Periksa permukaan dan celah-celah ukiran perabot.
Perabot yang berkualiti mempunyai permukaan yang halus termasuk
dicelah rongga ukiran atau jejari perabot. Lazimnya bahagian
bawah atau dasar perabot memang tidak di haluskan dan dibiarkan
kasar. Secara am, perabot dari kayu berkualiti rendah agak
sukar di haluskan terutama di celah rongga ukiran.
- Perhatikan corak urat kayu.
Urat kayu yang berkualiti adalah lebih lurus dan halus.
Istilah yang sering digunakan di Indonesia ialah kayunya
kelihatan mulus. Lebih halus dan lurus urat
kayu, maka ia lebih berkualiti. Kayu berkualiti berbelang-belang
dan keseluruhan permukaan mempunyai warna sekata. Kayu yang
berkualiti rendah kelihatan berbelang-belang, terdapat bahagian
yang kelihatan agak putih dan ada yang lebih gelap. Untuk
panduan, kayu yang kelihatan putih merupakan kayu yang agak
lembut dari bahagian paling hampir dengan kulit kayu. Kayu
yang berwarna putih juga lazimnya dari kayu yang muda dan
tidak tahan lama.
- Perhatikan warna kayu
Lazimnya, agak sukar untuk menentukan kualiti dengan memerhatikan
warna kayu kerana ia telah diwarnakan dengan varnish. Secara
am, kayu yang berwarna coklat tua lebih baik berbanding
dengan kayu yang berwarna agak muda. Namun, atas pelbagai
teknik pewarnaan kayu, agak sukar menentukan kualiti dengan
melihat perabot yang sudah siap. Cara terbaik ialah dengan
memerhatikan warna kayu sebelum ia diwarnakan/varnish. Oleh
yang demikian, usah tertipu dengan teknik jurujual yang
mengatakan perabot yang berwarna gelap lebih berkualiti.
Ini kerana anda perlu memerhatikan warna asli kayu sebelum
divarnish.
- Perhatikan mata kayu
Dari urat-urat kayu, cuba perhatikan bahagian mata kayu.
Mata kayu ialah bahagian pohon yang mengeluarkan dahan.
Ia kelihatan seperti pusaran kecil. Kebiasaannya mata kayu
berlubang secara semulajadi. Tetapi tukang kayu mempunyai
pelbagai teknik untuk menutup bahagian lubang mata kayu.
Oleh yang demikian, perhatikan kemasan di bahagian mata
kayu supaya ia tidak merekah pada masa akan datang. Sebaik-baiknya,
pilih perabot yang tidak mempunyai mata kayu.
- Perhatikan kemasan perabot
Perabot dari kayu yang berkualiti lazimnya kelihatan cantik
dan kemas. Teknik sambungan kayu yang teliti dan kuat. Oleh
kerana perabot dari kayu jati dibuat keseluruhannya dengan
tangan, maka biasanya terdapat sedikit kecacatan yang minima.
Oleh yang demikian, pilih perabot yang paling kurang kadar
kecacatan. Terdapat perabot yang sempurna 100%, lazimnya
ia sangat mahal dan dibuat dari kayu berkualiti Gred A.
- Pilih perabot dari kayu yang kering
Peratusan kandungan air dalam kayu merupakan perkara terpenting
dalam menentukan kualiti perabot. Kayu mempunyai sifat semulajadi
iaitu akan mengecut apabila ia semakin kering. Oleh yang
demikian, kebanyakan kayu akan pecah, merekah atau melengkung
apabila ia mengering dan mengecut. Untuk memastikan kayu
yang kering, anda harus memilih perabot yang telah menjalani
proses pengeringan yang sistematik. Selain pengeringan semulajadi
dengan teknik jemuran, kini terdapat teknologi baru dengan
menggunakan teknik giant oven di mana kayu akan dipanaskan
di dalam oven selama 3 hari supaya ia cukup kering dan berkualiti.
- Pilih perabot yang diberi jaminan
Jaminan memberikan anda ketenangan dalam melaburkan simpanan
anda untuk memiliki perabot. Perlu diingat, semua perabot
jati mempunyai risiko rosak walau pun anda membeli perabot
dari kayu yang berkualiti paling tinggi. Ia adalah sifat
semulajadi kayu yang mungkin boleh pecah, patah atau merekah.
Oleh yang demikian, jaminan dari pengedar adalah amat penting
untuk memastikan anda membeli barangan yang betul.
- Perhatikan struktur perabot
Perabot dari kayu jati lazimnya kuat dan mempunyai struktur
yang kukuh. Namun atas pelbagai perubahan rekabentuk, terdapat
perabot yang mempunyai struktur yang agak lemah terutama
kerusi makan. Oleh yang demikian, anda perlu memerhatikan
struktur perabot sebelum anda membelinya.
|